FOTO hiasan.
BERNAMA

KERAJAAN Negeri Melaka menafikan sebarang kes koronavirus baharu berlaku negeri berkenaan sehingga kini seperti ditularkan di media sosial, sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Low Chee Leong berkata, walaupun pada awalnya terdapat kes membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun yang didakwa mempunyai simpton koronavirus namun ia disahkan negatif selepas menjalani ujian di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tiga hari lalu.

“Kita menerima laporan bahawa terdapat seorang kanak-kanak warga China yang berada di negeri ini mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Ayer Keroh kerana demam pada 24 Januari sebelum dirujuk ke Hospital Melaka tetapi keluarganya enggan berbuat demikian.

“Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak itu membawanya ke HKL pada hari sama bagi mendapatkan rawatan. Ujian pengesahan dapati dia negatif,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat di negeri itu diharap tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang berita yang ditularkan dalam media sosial berkaitan koronavirus sehingga disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Low berkata, rakyat juga disaran menyemak segala maklumat terkini berkaitan koronavirus menerusi laman sesawang KKM kerana ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Di peringkat negeri, kita akan bekerjasama dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kes koronavirus dikesan di Melaka dan pengesahan itu akan dibuat kementerian.

“Bagaimanapun, kita sentiasa ‘alert’ dengan perkembangan kes ini dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan diri, memakai topeng muka sekiranya tidak sihat dan mengurangkan aktiviti luar sebagai langkah awal pencegahan.

Semalam, tular dalam aplikasi Whatsapp dan media sosial mendakwa kononnya ada kes jangkitan koronavirus di Melaka sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 11:23 AM