Lee Lam Thye. FOTO Nik Hariff Hassan
Raja Noraina Raja Rahim


MENYEBARKAN video dan maklumat palsu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang wajar dikenakan hukuman berat kerana ia boleh menimbulkan rasa takut dan panik dalam kalangan masyarakat.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penguatkuasaan undang-undang perlu dibuat secara serius dan menahan individu yang menyebarkannya.

“Merujuk kepada penularan video kes kemalangan mengorbankan banyak nyawa yang dikatakan di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur semalam, ia sebenarnya kes lama dan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan pada 2010.

“Mungkin ada yang baru kali pertama melihat video itu akan berasa panik terutamanya yang mempunyai ahli keluarga berkunjung ke sana.

“Tambah pula kes kemalangan memang kerap berlaku di negara ini, sudah pasti masyarakat akan mudah percaya dan membangkitkan rasa tidak selamat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru itu, Lam Thye berkata, sudah tiba masanya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan kuasa penguatkuasaan media sosial kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperkemas.

Menurutnya, akta berkenaan boleh diaplikasikan kepada individu yang menyalahgunakan teknologi dengan menyebar maklumat, video atau gambar palsu.

“Sekiranya seksyen sedia ada tidak memadai dan kurang berkesan untuk menangani isu ini, saya cadangkan seksyen berkenaan dikaji semula dan dibuat pindaan supaya tindakan lebih berat boleh diambil,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan berlaku kemalangan mengorbankan banyak nyawa yang dikatakan di Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur semalam.

Pengarahnya Datuk Azisman Alias dilaporkan berkata, pemeriksaan dilakukan mendapati rakaman video berdurasi empat minit 57 saat itu adalah kejadian kemalangan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 12:35 PM