PELANCONG memilih feri untuk ke Langkawi. FOTO Arkib NSTP.
PELANCONG memilih feri untuk ke Langkawi. FOTO Arkib NSTP.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KERAJAAN Perlis akan memperketatkan kemasukan pelancong dari Pulau Langkawi ke negeri itu yang melalui Terminal Feri Kuala Perlis.

Ia susulan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) yang dilapor membabitkan pelancong China di pulau pelancongan itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Ruzaini Rais berkata, pihak berkuasa keselamatan sudah diminta mengawal ketat pergerakan pelancong di pintu masuk berkenaan.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan PDRM sudah diminta mengawal ketat kemasukan pelancong di Jeti Kuala Perlis ini.

“Kita tidak mahu wabak merebak memandangkan ketika ini musim cuti perayaan di samping pulau itu menjadi tumpuan ketika cuti sekolah.

“Kuala Perlis pula penghubung utama ke Pulau Langkawi,” katanya ditemui di Program Kayuhan Anak Syurga dan Penyerahan Sijil MBOR Bagi Misi Rentas Sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Padang Besar, hari ini.

Semalam, dua beradik warganegara China dikuarantin di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi kerana disyaki mempunyai simptom koronavirus.

Kanak-kanak perempuan berusia empat dan dua tahun itu bercuti ke Langkawi bersama ibu bapa mereka pada Jumaat lalu, namun dimasukkan ke hosputal pada 1 tengah hari semalam.

Dalam pada itu, Ruzaini meminta Kerajaan Persekutuan untuk lebih tegas mengenai kemasukan pelancong China ke negara ini.

“Keutamaan dan keselamatan perlu diberikan kepada rakyat kita terlebih dahulu kerana Filipina pun sudah menghantar pulang pelancong China ke negara asal sejurus wabak ini menular ke negara mereka.

“Kerajaan perlu mendengar rungutan rakyat memandangkan situasi sedang berubah panik dan rakyat gelisah kerana selepas Johor, wabak mula menular ke Langkawi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 2:44 PM
    Digital NSTP Subscribe