SYARIKAT Air Melaka Bhd (SAMB) menyediakan tangki air di pusat agihan setempat bag memudahkan penduduk mengambil air berikutan pelaksanaan catuan air berjadual. FOTO Hassan Omar


SYARIKAT Air Melaka Bhd (SAMB) menyediakan 132 pusat agihan bagi memudahkan penduduk mengambil air berikutan pelaksanaan catuan bekalan berjadual mulai Rabu ini.

Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Halim Bachik berkata, lokasi berkenaan dipilih hasil kerjasama SAMB dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri bagi memastikan tiada penduduk tidak mendapat bekalan air sepanjang program itu dilaksanakan hingga 9 Februari depan.

“SAMB sudah melantik kontraktor untuk menyediakan tapak tangki air mampu mengisi kira-kira 2,727 liter atau 600 gelen air dipindahkan dari lori tangki.

“SAMB tidak lagi menghantar air dari rumah ke rumah seperti pernah dilakukan ketika gangguan bekalan air pada September lalu,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, lori tangki akan memindahkan air ke tangki di pusat berkenaan pada hari air dicatu dan orang ramai diminta bersabar ketika beratur untuk mengambil air serta tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya menghormati hak sesama anggota komuniti.

Kerajaan negeri dilaporkan akan melaksanakan catuan air berjadual mulai 29 Januari membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk Melaka, tetapi hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan dikecualikan daripada dikenakan catuan.

Ia bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac depan.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling mendapati anggota komuniti sudah mula membersihkan telaga masing-masing untuk digunakan ketika air dicatu.

Syazwan Abdul Shukor, 25, berkata dia sudah membersihkan telaga berhampiran kediamannya daripada sampah sarap seperti botol plastik, daun dan plastik bagi memastikan penduduk sekitar mampu mendapatkan air ketika catuan dibuat.

“Perigi ini kami korek ketika menghadapi gangguan bekalan air selama dua minggu pada September lalu dan Alhamdulillah ia bersih dan boleh digunakan bukan setakat untuk mandi, malah memasak dan seumpamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 3:07 PM