SUAMI isteri dari Beijing, China terkejut apabila diarah petugas pasukan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) ke bilik pengasingan kerana disyaki demam.

Pasangan berusia 25 dan 30 tahun itu diarah berbuat demikian selepas pemeriksaan suhu ke atas lelaki terbabit mencecah 38 darjah Celsius.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, pasangan itu antara 30 penumpang tiba di LTAM dari Langkawi menggunakan pesawat Malindo Air, 1.55 tengah hari tadi.

Katanya, pasangan itu kemudiannya dibenarkan keluar kerana suhu badan lelaki itu mulai turun kepada 37 darjah Celsius.

Beliau berkata, setiap penumpang termasuk pelancong yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan melalui proses pemeriksaan suhu badan.

“Jika suhu seseorang itu melebihi 38 darjah Celsius, kami akan asingkan mereka ke bilik lain untuk tujuan pengambilan suhu kali kedua dan jika masih kekal 38 darjah Celsius atau semakin naik, mereka akan dirujuk ke hospital.

“Bagaimanapun, setakat ini di Melaka masih belum mempunyai kes membabitkan Koronavirus Baharu, tetapi langkah berjaga-jaga tetap diambil Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau saringan kesihatan di pintu masuk LTAM Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismail Ali.

Chee Leong turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan beberapa laporan di media sosial mengenai virus berkenaan sebelum disahkan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Dr Ismail berharap orang ramai yang mempunyai gejala demam, batuk atau sukar bernafas supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan.

“Mereka perlu mendapatkan rawatan awal kerana kami khuatir penyakit berjangkit akan merebak dengan cepat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:01 PM
    SEBAHAGIAN pelancong memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
    SEBAHAGIAN pelancong memakai penutup muka dan hidung berikutan penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Luqman Hakim Zubir
    Digital NSTP Subscribe