LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Ramli Ibrahim


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan memasang perangkap beruang di Rancangan Tanah Felda Perasu, dekat Gua Musang, hari ini.

Pengarahnya, Ady Armanty Haniff Mohamed Hanif berkata, tindakan segera itu bagi memastikan keselamatan warga peneroka.

Katanya, kakitangan jabatan itu akan meneliti semua perkara termasuk situasi di lokasi kejadian sebelum memasang perangkap terbabit.

“Kita juga belum dapat menjangkakan jumlah sebenar beruang yang berkeliaran di Felda Perasu itu tetapi berdasarkan dakwaan peneroka lima ekor.

“Apapun kita pasang perangkap dahulu. Peneroka juga diingatkan tidak bertindak persendirian menghalau haiwan liar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. Semalam portal Harian Metro melaporkan peneroka Rancangan Tanah Felda Perasu, dekat Gua Musang, bimbang dengan keselamatan berikutan lima beruang berkeliaran berhampiran rumah mereka sejak seminggu lalu.

Malah, lima beruang itu turut membaham puluhan ayam dan itik dalam reban serta memusnahkan tanaman penduduk terutama pokok kelapa.

Sementara itu, seorang peneroka, Yusoff Hussin, 57, ketika ditemui berkata, kebanyakan peneroka masih takut untuk ke ladang sawit kerana percaya haiwan liar itu masih bersembunyi dalam kawasan ladang berkenaan.

“Lebih baik tangguh dahulu kerja di ladang sawit demi keselamatan diri,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Siasat dulu sebelum pasang perangkap
  • Cemas 5 beruang musnah tanaman
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:07 PM