Pengawal keselamatan Masjid Putra memberi penerangan larangan masuk kepada pelancong warga asing di pintu masuk masjid. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


LEBIH 500 pelawat warga asing tidak dibenarkan masuk ke Masjid Putra, Putrajaya apabila ia ditutup untuk lawatan bermula semalam.

Jurucakap pengurusan Masjid Putra berkata, penutupan itu berkuat kuasa 2 petang semalam hanya kepada pelawat warga asing.

Beliau berkata, buat masa ini masjid itu hanya dibuka kepada umat Islam menunaikan solat sehingga satu tempoh akan dimaklumkan kelak susulan kebimbangan terhadap wabak koronavirus baharu.

“Pengurusan masjid merasa bimbang sejak penularan wabak itu kerana jumlah pelawat warga asing China semakin meningkat sehingga mencecah 1,000 orang pada setiap hari.

“Kami bimbang kerana masjid ini tidak dibekalkan peralatan pemeriksaan haba untuk pelancong dan dikhuatiri wabak itu akan merebak di kawasan ini.

“Pengurusan masjid mengarahkan pihak keselamatan supaya memperketatkan kawalan di pintu masuk agar pelawat warga asing tidak masuk ke masjid.

“Bagaimanapun, pelawat masih boleh mengambil gambar di hadapan pintu gerbang masjid dan Dataran Masjid Putra,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan, pengurusan Masjid Putra mengeluarkan arahan larangan masuk ke masjid bagi pelancong warga asing.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati ratusan pelawat membanjiri persekitaran Masjid Putra serta Dataran Putra untuk beriadah dan mengambil gambar sempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

Di pintu masuk masjid, kelihatan notis larangan diletakkan termasuk beberapa orang petugas keselamatan sibuk memberi penerangan kepada pelawat mengenai larangan itu dan mereka dilihat mematuhi arahan diberikan.

Setakat ini, empat kes koronavirus disahkan di negara ini yang semuanya membabitkan pelancong dari China.

Sementara itu, juruteknik, Wan Yusrizal Wan Omar, 41, bersetuju dengan penutupan masjid itu kepada pelancong warga asing khususnya dari China bagi mengelak wabak itu merebak ke negara ini.

Beliau yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, datang bercuti bersama keluarga merasa bimbang sejak wabak itu menular ke negara ini.

“Saya mendapat maklumat mengenai wabak itu melalui media sosial dan sejak itu mengambil langkah keselamatan dengan menjauhi tempat kunjungan orang ramai.

“Sebagai langkah keselamatan, saya membekalkan topeng penutup mulut dan hidung kepada ahli keluarga bagi mengelak jangkitan penyakit itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 4:31 PM