POLIS memohon saksi awam untuk tampil membantu siasatan kes penemuan bayi lelaki di perhentian bas berhadapan sebuah sekolah di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, bayi itu masih dijaga dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

“Bayi itu sihat dan berada dalam keadaan stabil manakala siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan.

“Sehubungan itu, saksi awam yang mempunyai maklumat mengenai bayi ini diminta tampil untuk membantu polis menyiasat bagi mengesan ibu bapa bayi itu,” katanya.

Amran berkata, maklumat mengenainya boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06 4842222.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

Pada 22 Januari lalu, Harian Metro melaporkan seorang bayi lelaki ditemui di hentian bas di hadapan sebuah sekolah di Tanjung Ipoh.

Bayi dibalut dengan kain pelekat itu dimasukkan ke dalam beg plastik dan dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

Berita berkaitan

'Tangisan bayi di hentian bas'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:15 PM