babi hutan yang berkeliaran di kawasan rumah penduduk. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


PENDUDUK di Kampung Parit Satu Barat dan Sungai Lias, Sungai Besar, hidup tidak tenteram berikutan puluhan babi hutan memasuki kawasan kampung sejak tiga tahun lalu.

Mereka mendakwa, haiwan liar itu sering menceroboh kebun dan merosakkan hasil tanaman seperti pisang, anak pokok kelapa dan ubi yang menyebabkan kerugian.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit Satu Barat, Mohamad Baharin Hamid berkata, kumpulan babi itu menceroboh pada lewat petang selain masa keluar tidak menentu.

“Haiwan itu akan masuk ke kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk. Kami runsing hingga terpaksa keluarkan modal sendiri untuk membina pagar sekitar kebun.

“Lebih menakutkan, haiwan itu datang dalam kumpulan besar menyebabkan penduduk ketakutan dan bimbang dengan keselamatan keluarga," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohamad Baharin berkata, walaupun penduduk memasang perangkap untuk menghalang haiwan itu, usaha itu tidak berhasil.

Menurutnya, aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dilakukan dan operasi menembak haiwan itu sedang dijalankan.

Seorang penduduk, Rahim Hassan, 61, berkata, sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan akan ada penduduk cedera diserang haiwan berkenaan.

“Saya risau sebab haiwan itu berkeliaran di belakang rumah selain memasuki kebun penduduk.

“Haiwan itu memusnahkan hasil tanaman yang diusahakan, sekali gus menyebabkan ia terjejas," katanya.

Sementara itu, jurucakap Perhilitan Selangor berkata, pihaknya berjumpa dengan komuniti kampung untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menyalurkannya melalui talian Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:20 PM