ABD Rahman Sulaiman menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran kemalangan maut membabitkan anak keduanya. FOTO NSTP
ABD Rahman Sulaiman menunjukkan laporan polis yang dibuat ekoran kemalangan maut membabitkan anak keduanya. FOTO NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“NYAWA anak saya memang tidak boleh diganti tapi apa yang diharapkan adalah keadilan untuk membela kematiannya,” kata Abd Rahman Sulaiman, 56.

Anak keduanya, Iskandar Abd Rahman, 26, maut dalam kemalangan selepas dikatakan motosikal ditunggangnya bergesel dengan Perodua Myvi di persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke Jalan Tun Perak berhampiran Maju Junction, di sini, pada jam 8.30 malam, Sabtu lalu.

Menceritakan semula kejadian, Abd Rahman berkata, anaknya yang bekerja sebagai penunggang syarikat penghantar makanan yang mahu menghantar pesanan makanan kepada pelanggan disahkan maut di lokasi kejadian selepas dihempap kereta dipandu lelaki warga Pakistan.

Dia berkata, apa yang dikesalnya adalah pemandu terbabit masih bebas kerana dikatakan melarikan diri dari lokasi sejurus kejadian dan hanya rakannya ditahan.

“Daripada apa maklumat yang saya terima, pemandu terbabit adalah pelancong dan memandu kereta yang disewa.

“Cubaan mencari di hotel penginapannya di Batu Caves juga tidak berjaya namun saya menemui tiket kapal terbang dan dokumen pengenalan diri Pakistan.

“Saya bimbang lelaki terbabit sudah melarikan diri dengan keluar dari negara ini seterusnya usaha mendapatkan pembelaan untuk arwah anak saya semakin sukar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, dia juga berharap polis dan agensi keselamatan berkaitan seperti Jabatan Imigresen dapat mengesan lelaki terbabit secepat mungkin dan membawanya ke muka pengadilan.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai memandu dalam keadaan mabuk kerana keadaan kenderaan yang dipandu rosak teruk berikutan dipandu laju sebelum bergesel dengan motosikal anaknya.

“Saya cuma mahu keadilan untuk Iskandar dan ini menjadi iktibar kepada semua pihak agar memandang serius isu pemandu mabuk kerana nyawa orang lain yang tidak berdosa boleh melayang disebabkan kerakusan mereka meminum minuman keras tanpa kawalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

“Polis sudah berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memperketatkan kawalan di pintu keluar sempadan supaya cubaan suspek melarikan diri dapat disekat seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek juga diminta tampil membantu polis,” katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 5:56 PM
Digital NSTP Subscribe