ANTARA berita palsu yang tersebar. FOTO tular media sosial
Baharom Bakar


POLIS memburu pemilik Facebook (FB) yang menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) di negeri ini.

Ketua Polis negeri Datuk Aidi Ismail berkata, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak akan bertolak-ansur terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran orang awam.

“Setakat ini, polis dan SKMM sudah mengenalpasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan koronavirus,” katanya.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu yang mendakwa terdapat lima pesakit koronavirus yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) boleh menimbulkan kekecohan dan kemudaratan.

“Pemantauan dilakukan polis dan SKMM mendapati media sosial serta pesanan dalam talian sudah menjadi satu platform bagi penularan berita palsu mengenai koronavirus.

“Penyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan boleh juga dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan dimuatnaik di FB kononnya terdapat lima pesakit koronavirus sedang dirawat di HSNZ.

Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menafikan dakwaan terdapat lima individu dari Wuhan, China dimasukkan ke HSNZ.

Aidi berkata, rakyat digesa menyemak terlebih dulu maklumat atau berita mengenai koronavirus sebelum menyebarkannya terutamanya maklumat dikeluarkan oleh pihak selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 6:58 PM