LEMBU betina yang cuba dilarikan. FOTO Ihsan Pembaca.
Hazira Ahmad Zaidi


CUBAAN dua lelaki melarikan seekor lembu betina dengan kereta Perodua Kancil di Kampung Bechah Terap, Kota Bharu, semalam gagal apabila seorang daripadanya ditahan penduduk.

Kejadian itu disedari jam 5 pagi, selepas rakan pemilik mendapati lembu yang ditambat di tepi tali air di kampung itu hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, rakan pemilik kemudian memaklumkan kepadanya, sebelum mereka terserempak dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Padang Bembam.

“Pemilik dan orang kampung cuba menahan kereta itu, bagaimanapun, kedua-dua suspek melarikan diri ke dalam hutan.

“Hasil pemeriksaan, mereka menemui lembu di dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, pemilik dan penduduk kampung cuba mencari kedua-dua lelaki sekitar kampung, sebelum menemui seorang daripada suspek pada 10 pagi.

“Penduduk kampung kemudian menghubungi pihak polis untuk menyerahkan suspek bersama kenderaan dinaiki serta lembu yang dicuri.

“Turut dirampas satu telefon bimbit dan satu botol plastik yang di dalamnya mengandungi empat straw,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:22 PM