PENIAGA bakal berdepan tindakan tegas jika menaikkan harga topeng muka. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah susulan wabak koronavirus baharu.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abdul Aziz berkata, tindakan tegas ini adalah melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menurutnya, lima jenis topeng muka sudah ditetapkan sebagai barangan harga terkawal.

“Lima jenis topeng muka yang dikawal harganya secara perundangan ini adalah di bawah peruntukan akta yang sama.

“Sebarang pelanggaran di bawah peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan undang- undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muez berkata, jika sabit kesalahan seorang individu berdepan dengan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya serta boleh dikompaun hingga RM50,000.

“Manakala bagi syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Perlu diingatkan, kementerian juga mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang menaikkan harga topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP sudah menjalankan pemantauan berterusan dengan mengarahkan pegawai penguatkuasa seramai 2,300 orang untuk membuat pemeriksaan seluruh negara.

“Pihak kementerian memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terbabit dalam pembekalan dan penjualan topeng muka supaya membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum yang ditetapkan.

Lima jenis topeng muka barangan harga terkawal.

(i) Topeng muka

(pembedahan/perubatan) satu lapisan

(gelung telinga) - Harga borong RM5 sekotak , harga runcit RM7 sekotak

(ii) Topeng muka

(pembedahan/perubatan) 2 lapisan

( gelung telinga) - Harga Borong RM8 sekotak ,

harga runcit RM10 dan RM0.20 sen seunit

(iii)Topeng muka

(pembedahan/perubatan) tiga lapisan

(gelung telinga/gelung kepala) -

harga borong RM25 sekotak,

harga runcit RM0.80 sen seunit

(iv) Topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) - harga

borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit

(v)Topeng muka (pembedahan / perubatan) N95 - harga borong RM100 sekotak,

harga runcit RM6 seunit

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:27 PM