NUR Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, maut ditikam. FOTO ihsan keluarga


LELAKI yang menikam kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Felda Cherul 2, Kemaman, hari ini, dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan oleh penduduk kampung sebelum menyerahkannya kepada polis.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek yang juga bapa saudara mangsa positif methamphetamine.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman esok untuk mendapat perintah tahanan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari menyebabkan mangsa, Nur Hafiya Aufa Mohd Taquddin, 3, maut serta-merta.

Hanyan berkata, kejadian disedari ibu saudara mangsa yang kemudiannya bertindak menghubungi suaminya sebelum mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Cherul.

“Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

'Kenapa tikam Hafiya?'

Kanak-kanak 3 tahun dibunuh bapa saudara

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:48 PM