ANGGOTA KPDNHEP memeriksa kenderaan yang ditinggalkan penyeludup. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


TERKEJUT dengan serbuan pihak berkuasa di sebuah stesen minyak di Bukit Bunga, Tanah Merah, seorang lelaki yang sedang mengisi petrol ke tangki kereta melarikan diri meninggalkan kenderaannya.

Serbuan dibuat pada 6 pagi tadi oleh anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan yang sebelum itu membuat pemerhatian di stesen minyak berkenaan sejak jam 5.30 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pemantauan dijalankan pada jarak 50 meter dan mendapati terdapat empat kenderaan sedang membuat pengisian di semua pam stesen minyak terbabit.

“Kami percaya semua kenderaan itu digunakan untuk menyeludup petrol ke Thailand dan sebaik menerima arahan, anggota menyerbu masuk ruang stesen berkenaan.

“Tiga lelaki bertindak memecut kenderaan masing-masing manakala sebuah kenderaan lagi tidak sempat dilarikan bagaimanapun pemandunya lolos,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek yang melarikan diri membuat pengisian petrol RON 95 kira-kira 229.491 liter yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Azanizam berkata, terdapat tangki yang diubahsuai pada bahagian hadapan dan belakang penumpang termasuk di bonet belakang Proton Iswara terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Tindakan juga diambil terhadap pemilik stesen kerana didapati tidak mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 9:54 PM