ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


MAYAT lelaki ditemui orang awam di sungai berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Subang, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa dikenali Eshanso Koong ditemui orang awam yang kemudian menghubungi polis jam 5.55 petang tadi.

Menurutnya, polis dan bomba kemudian ke lokasi kejadian sebelum mengeluarkan mangsa dari sungai.

“Sebelum penemuan mayat, motosikalnya jenis Yamaha LC warna hitam ditemui pengguna jalan raya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) bersebelahan Menara Korporat Persada PLUS dipercayai akibat kemalangan.

“Lelaki terbabit yang menemui motosikal itu kemudian membawanya ke sebuah stesen minyak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohd Zani berkata, anaknya juga sudah tampil membuat pengecaman mayat dan mengesahkan mangsa adalah bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 10:01 PM