ATLIANO Brandon dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di Sungai Kirokot. FOTO ihsan pembaca
Recqueal Raimi


REMAJA lelaki dilaporkan hilang sejak kelmarin ketika menangkap ikan di Sungai Kirokot di ladang sawit berhampiran Kampung Kirokot, Ranau.

Difahamkan, kehilangan Atliano Brandon Frederick, 19, dari Kampung Poring disedari rakannya pada jam 3 petang ketika melakukan kerja mengait kelapa sawit.

Bapanya, Frederick Angkin, 47, berkata, anaknya serta tiga lagi rakan dari Kampung Bongkud dan Kampung Kirokot mengambil upah mengait kelapa sawit di ladang berkenaan selama dua hari.

“Pada 24 Januari lalu kira-kira jam 1 tengah hari, mereka bertolak ke ladang namun keesokannya pada jam 3 petang, rakannya bergegas pulang memaklumkan kehilangan anak saya kepada penduduk.

“Rakannya memaklumkan saya anak disedari hilang selepas pergi menangkap ikan seorang diri,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung segera melakukan pencarian namun gagal sebelum memaklumkan pihak bomba pagi tadi.

“Setakat ini, hanya kesan tapak kaki ditemui di tepi sungai dan anak saya memakai baju lengan pendek putih dan seluar pendek hitam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.30 pagi dan seramai enam anggota ke lokasi dengan kenderaan utiliti kereta pacuan empat roda Toyota Vigo.

Katanya, pihak bomba mengambil perjalanan sejauh 40 kilometer ke lokasi dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan bantuan seramai 48 penduduk.

“Operasi terpaksa ditangguhkan jam 6 petang tadi berikutan keadaan gelap dan akan disambung jam 7 pagi kemudian esok,” katanya.

Photo caption:

1) MANGSA Atliano Brandon Frederick, 19, belum ditemui selepas dipercayai hilang di ladang sawit berhampiran Kampung Kirokot, Ranau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 10:11 PM