CHE Farihah (kanan) bersama Pegawai Perhubungan PERKESO Mohd Sabri Ramli (kiri) menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah kepada Rabiah. FOTO Zaid Salim
CHE Farihah (kanan) bersama Pegawai Perhubungan PERKESO Mohd Sabri Ramli (kiri) menyampaikan Faedah Pengurusan Jenazah kepada Rabiah. FOTO Zaid Salim


“SAYA terharu dan sangat berterima kasih kepada PERKESO dengan bantuan ini,” kata Rabiah Ali, 78, ibu kepada Mohd Nazli Yusof, 45, dari Kampung Merchang, Marang.

Mohd Nazli pekerja kimpalan syarikat swasta di Melaka meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan otak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), 20 Januari lalu.

Katanya, dia menggunakan bantuan yang diterima untuk keperluan diri dan dua cucu, Nur Iman Balqis, 13, dan Muhammad Adib Nazmi, 11, yang kini tinggal bersama ibunya.

“Arwah memiliki dua anak yang kini tinggal bersama bekas menantu yang juga ibu kandung mereka, Siti Murni Narawi, 36, di Wakaf Tapai,” katanya.

Rabiah berkata, arwah anak keenam daripada sembilan beradik bekerja di Melaka dan sangat bertanggungjawab terhadap keluarga termasuk dua anaknya.

“Saya tidak tahu sejak bila anak saya menghidap penyakit itu dan kehilangannya sangat dirasai,” katanya selepas menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pengarah PERKESO Terengganu, Che Farihah Che Husin pada Majlis Santai PERKESO Bersama Media, hari ini.

Sementara itu, Che Farihah berkata, siasatan pihaknya mendapati arwah Mohd Nazli adalah seorang pencarum dan layak menerima faedah berkenaan.

“Arwah memiliki dua anak yang yang masih bersekolah dan layak menerima Pencen Penakat sehingga berusia 21 tahun yang akan diberikan kepada ibu kanak-kanak itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan dan kiraan jumlah bayaran yang diberikan kepada penjaga kanak-kanak terbabit setiap bulan.

Dalam majlis itu, seramai lebih 10 pengamal media di negeri ini mendaftar sebagai pencarum menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 10:49 PM
Digital NSTP Subscribe