PELANCONG memasuki negara melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
PELANCONG memasuki negara melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
BERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan memperkukuh aktiviti saringan kesihatan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah kesiapsagaan dalam menangani jangkitan koronavirus baharu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara usaha yang diambil termasuk menempatkan pengimbas haba di ‘entry points’ bagi mengesan kehadiran mereka yang mempunyai gejala demam.

Jelasnya, bagi daerah Johor Bahru, terdapat enam PMA dengan dua daripadanya masing-masing di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang menjadi pintu masuk darat dari Singapura.

Purata pelancong China yang masuk melalui KSAB adalah 3,000-3,500 orang sehari sepanjang 2019.

“Semasa lawatan ke KSAB pada petang Isnin, saya melihat sendiri langkah-langkah kesiapsagaan agensi-agensi tebabit bagi mengesan pengembara yang bergejala.

“Sekiranya terdapat pengembara yang disyaki, beliau akan diperiksa selanjutnya di Bilik Saringan Kesihatan dan dirujuk kepada Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, satu laluan khas imigresen bagi mana-mana pengembara yang berasal dari negara China juga diwujudkan.

Setakat pagi ini, empat kes koronavirus dikesan di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:45 AM