BAYI perempuan yang ditinggalkan di bawah tangga kedai di kawasan komersil Junction 5, Jalan Batu 5, Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


PEMILIK kedai makan di kawasan Junction 5, Jalan Batu 5 di Bintulu, dikejutkan dengan penemuan bayi perempuan yang baru lahir diletakkan di bawah tangga kedainya, semalam.

Wanita berusia 51 tahun itu pada mulanya terdengar tangisan bayi di belakang kedainya pada 1.10 tengah hari dan selepas memeriksanya, dia terkejut melihat bayi cukup sifat di bawah tangga.

Susulan penemuan bayi itu, wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap semua suspek mengesahkan seorang daripada mereka adalah ibu kepada bayi terbabit.

“Ketika ini, semua suspek masih ditahan di lokap Balai Polis Bintulu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkipli berkata, bayi seberat 2.9 kilogram itu sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:40 AM