KAKITANGAN Jabatan Kesihatan Malaysia memantau kamera pengimbas haba bagi mengesan suhu badan penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nor Fazlina Abdul Rahim


KEMENTERIAN Kewangan sedia mempertimbang peruntukan tambahan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah jumlah pengimbas suhu di pintu keluar masuk negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, peruntukan itu perlu disediakan berikutan ia membabitkan aspek keselamatan dan kesihatan, terutama dengan ancaman koronavirus baru (2019-nCoV) ketika ini.

“Perkara ini (peruntukan tambahan) dibincangkan dalam mesyuarat khas. Oleh kerana ia membabitkan isu keselamatan dan kesihatan, kita akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Namun, saya tiada maklumat khusus berapa jumlah peruntukan yang diperlukan,” katanya selepas hadir ‘Ministerial Talk Series’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Datuk Dr Noor Azizi Ismail.

Akhbar sebelum ini melaporkan, KKM sudah memohon peruntukan tambahan bagi menambah jumlah pengimbas suhu untuk diletakkan di pintu keluar masuk negara.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peralatan itu penting untuk mengesan individu yang tiba di Malaysia dengan tanda-tanda dijangkiti wabak koronavirus baru.

“Pengimbas suhu penting kerana mereka (pelancong) mungkin terlepas (jika pengimbas suhu di pintu masuk negara tidak mencukupi).

“Buat masa ini, kita ada 51 pengimbas suhu, namun kita sudah minta Menteri Kewangan beri peruntukan tambahan ketika krisis ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 12:22 PM