SAIFUDDIN Nasution (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Pengedaran 2020 pada perhimpunan bulanan KPDNHEP. FOTO BERNAMA
SAIFUDDIN Nasution (kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Pengedaran 2020 pada perhimpunan bulanan KPDNHEP. FOTO BERNAMA
Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengikuti perkembangan isu jangkitan Koronavirus atau 2019-nCoV secara dekat dan sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan berhubung kekurangan bekalan dan kenaikan harga produk topeng muka.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, buat masa ini bekalan topeng muka masih mencukupi dan sekiranya timbul isu kekurangan produk terbabit beliau akan berurusan dengan pihak pengeluar.

“Kami memantau secara dekat isu ini, bila kita terima sahaja laporan mengatakan bekalan topeng muka berkenaan berkurangan kita akan terus berurusan dengan pengeluar tempatan atau pun import supaya mereka mempertingkatkan jumlah pengeluaran.

“Sebelum terjadinya insiden ini (2019-nCoV) bekalannya masih di tahap mencukupi. Sekarang bila sudah mempunyai permintaan, sudah pasti isu kenaikan harga topeng muka akan berlaku.

“Namun kita sudah maklumkan sebelum ini bahawa topeng muka d ibawah harga kawalan dan sebarang isu kenaikan harga, penguatkuasa KPDNHEP tidak akan mengambil mudah hal berkenaan. KPDNHEP menganggap tidak wajar peniaga mengambil peluang di atas kebimbangan masyarakat,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di Putrajaya tadi.

Tambah Saifuddin, pihaknya juga sudah menerima arahan dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, supaya kementeriannya membuat pemantauan harga dan bekalan topeng muka dua hari lalu.

“TPM (Timbalan Perdana Menteri) dua hari lalu ada menghubungi saya meminta supaya kementerian dapat pastikan harga topeng muka dijual pada harga yang sepatutnya, dan keduanya beliau meminta supaya melihat dari aspek bekalan supaya ia mencukupi.

“Kami sudah mengambil langkah perlu mengenai isu ini, buat masa ini itu sahaja yang boleh dilakukan kerana keutamaan kami dari aspek penguatkuasaan kawal selia harga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 4:57 PM