GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

BANTUAN haji bagi musim 1441H/2020M masih kekal untuk bakal jemaah haji Muassasah kali pertama termasuk mereka yang berjaya dalam permohonan rayuan ibadah itu dengan membayar RM9,980 seperti tahun sebelum ini, menurut Lembaga Tabung Haji (TH).

TH menerusi makluman di laman sesawang rasminya hari ini, memaklumkan permohonan rayuan diberi keutamaan kepada mereka yang membuat rayuan sebagai mahram, lanjut usia, pembantu lanjut usia dan mereka yang terpilih pada tahun sebelum ini, tetapi terpaksa menangguh pemergian haji.

Selain daripada merit rayuan berkenaan, keutamaan pertimbangan akan diberikan kepada giliran jemaah pada tahun 1442H/2021M.

“Sebagai satu usaha penambahbaikan, Tabung Haji memperkenalkan Borang Rayuan Haji yang seragam untuk mempertingkatkan proses rayuan haji bagi jemaah ingin menunaikan haji pada musim haji 1441H/2020M ini.

“Borang ini memberi ruang kepada sesiapa yang merayu dan jika terpilih, mereka boleh secara sukarela bersetuju untuk membayar penuh RM22,900 untuk menunaikan haji secara Muassasah,” menurut makluman itu.

Hari ini tular di media sosial kononnya borang rayuan TH menimbulkan kekeliruan serta mempersoalkan rasional perakuan untuk ditandakan persetujuan sama ada secara sukarela bersetuju atau tidak untuk membayar penuh kos RM22,900 tanpa Bantuan Haji TH dan apakah jaminan mereka yang menandakan tidak bersetuju untuk membayar penuh akan menerima pertimbangan adil.

Menurut TH, tidak timbul isu ketidakadilan kerana mereka yang membuat rayuan bebas memilih untuk mendapatkan bantuan haji atau ingin membayar penuh.

Keputusan rayuan adalah berdasarkan merit dan bukannya kepada bayaran haji yang akan dibayar bakal jemaah.

Buat julung kali, TH memperkenalkan borang rayuan haji bagi musim Haji 1441H/2020M untuk diisi setiap individu yang membuat rayuan untuk menunaikan haji bagi membolehkan TH mengenal pasti mereka yang mencukupi syarat.

Hari ini, TH mula mengeluarkan surat tawaran haji secara berperingkat kepada pendeposit TH untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Kuota rasmi haji Malaysia pada tahun ini meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah pada musim haji lalu.

Setakat 24 Januari, TH menerima 100,000 surat rayuan dikemukakan oleh mereka yang memohon menunaikan haji pada tahun ini dan kesemua mereka perlu mengisi borang rayuan diperkenalkan TH tahun ini.

“Pihak TH akan mengeluarkan surat perakuan penerimaan rayuan haji pada tahun semasa kepada mereka dan seterusnya rayuan itu dimasukkan ke dalam sistem TH untuk diproses,” menurut TH.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkenaan rayuan haji, para pendeposit boleh menghubungi talian khidmat pelanggan (THCC) di 03-6207 1919.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 8:20 PM
Digital NSTP Subscribe