WAN MUHAMMAD AZRI WAN DERIS
BERNAMA

MAHKAMAH Majistret Kajang, hari ini diberitahu bahawa pihak polis menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan insiden antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pengendali laman blog, Papagomo pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari tahun lalu.

Juruanalisis siasatan audio video di Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras, Inspektor Nur Farah Syuhada Hamdan berkata, hasil pemeriksaan, beliau mendapati rakaman berdurasi beberapa saat itu kurang jelas kerana resolusi video asal adalah kecil.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian sewaktu dirujuk rakaman video ketika disoal balas peguam Logan Narayanan yang mewakili Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS).

Menurut saksi itu, rakaman dalam bentuk cakera optik (DVD) itu diterimanya dalam keadaan baik bersama surat permohonan eksibit untuk pemeriksaan oleh pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi pada 3.15 petang, 16 Mei tahun lalu.

Nur Farah Syuhada berkata, beliau mengambil masa 30 minit untuk mengenal pasti imej dikehendaki pegawai penyiasat iaitu imej suspek (B1) sedang memeluk atau mencekak mangsa (A1).

“Setelah saya ‘capture’ imej seperti dikehendaki pegawai penyiasat, proses ‘enhancement’ dilakukan bagi menjelaskan lagi imejnya.

“Proses ‘enhancement’ itu dilakukan bagi meningkatkan kualiti gambar yang ‘dicapture’. Selepas ‘enchancement’ dilakukan, imej yang terhasil adalah lebih jelas daripada rakaman asal,” katanya.

Dalam prosiding itu, rakaman video beresolusi 848 x 480 piksel per inci hasil analisis pihak polis turut dimainkan di mahkamah.

Ketika ditanya Logan sekiranya beliau ada menyatakan nama kedua-dua A1 dan B1 seperti tertera di dalam imej, saksi itu berkata tiada.

“Nama tidak perlu kerana berdasarkan arahan pegawai penyiasat, saya hanya diminta menganalisis perbuatan B1 memeluk dan mencekak A1 berdasarkan rakaman video iaitu barang kes diserahkan,” katanya.

Ditanya lanjut peguam Nik Saiful Adli Burhan sekiranya beliau ada melihat perbuatan memeluk atau mencekak oleh B1 terhadap A1, saksi itu berkata tidak tahu, tetapi tangan B1 ada di atas bahu A1 berdasarkan imej.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin, saksi itu sekali lagi menegaskan bahawa hasil analisis beliau tidak menyatakan nama individu kerana analisisnya berdasarkan perbuatan individu di dalam rakaman itu.

Papagamo yang juga Exco Pemuda UMNO didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Februari tahun lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Ketua Armda Bersatu itu pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:10 PM