Polis dan pasukan bomba meneruskan operasi mencari mayat bayi perempuan yang dibuang ke Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak Teluk Kepayang, Bota. FOTO Ihsan PDRM
Polis dan pasukan bomba meneruskan operasi mencari mayat bayi perempuan yang dibuang ke Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak Teluk Kepayang, Bota. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


PASANGAN kekasih yang dipercayai menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi perempuan ke Sungai Perak berhampiran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP), Teluk Kepayang, di Bota, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Barudin Wariso berkata, suspek lelaki dan wanita yang berusia 22 tahun itu dibebaskan petang, semalam selepas proses dokumentasi dan rakaman percakapan selesai.

Menurutnya, polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Pasangan itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam sehingga kita mendapat laporan pakar. Seterusnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Barudin berkata, sehingga kini, mayat bayi perempuan itu masih belum ditemui.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis menahan pasangan kekasih yang dipercayai membuang mayat bayi perempuan dalam Sungai Perak berhampiran rumah pam LAP di Teluk Kepayang, Bota.

Hasil siasatan polis mendapati, suspek wanita yang hamil tujuh bulan melahirkan bayi perempuan dalam keadaan bernyawa di bilik tidurnya pada 3 pagi, 21 Januari lalu, namun kemudian bayi itu meninggal dunia sebelum menyimpan mayatnya dalam almari selama tiga hari.

Wanita berkenaan menyerahkan mayat bayi terbabit kepada teman lelakinya yang kemudian dibuang ke Sungai Perak dengan cara menenggelamkan mayat dengan empat batu bata pada 2 pagi, Sabtu lalu.

Berita berkaitan

Buang mayat bayi ke sungai

  • Operasi cari mayat bayi perempuan diteruskan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:20 AM
    Digital NSTP Subscribe