X
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
HOSPITAL Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria
BERNAMA

KANAK-KANAK perempuan warga China yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Isnin lalu setelah mempunyai simptom koronavirus baharu, akan dibenarkan pulang hari ini apabila pulih daripada demam dan sakit tekak.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kanak-kanak berusia lima tahun itu yang hanya mengalami demam biasa dan sakit tekak sudah sihat sepenuhnya setelah menerima rawatan di HSNZ.

“Keadaannya stabil dan kita jangka kanak-kanak itu boleh discaj hari ini,” katanya menerusi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Isnin lalu, tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak perempuan warga China yang didakwa dilarikan ibu bapanya dari Hospital Kemaman selepas disyaki dijangkiti koronavirus baharu.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat seorang doktor Hospital Kemaman untuk mengesan kanak-kanak itu dan tidak lama selepas itu, kanak-kanak itu berjaya ditemui di lokasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kemaman.

Ibu bapa kanak-kanak itu adalah warganegara China yang bekerja di kawasan projek ECRL Kemaman dan mereka berada di Terengganu sejak awal bulan lalu.

Mereka memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membawa kanak-kanak perempuan itu ke HSNZ untuk pemeriksaan lanjut dan mendakwa bukan melarikan diri, sebaliknya tidak memahami penerangan doktor itu berikutan masalah komunikasi bahasa.

Hasil pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu mendapati beliau tidak memenuhi kriteria sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) atau sebagai pesakit koronavirus dan pihak hospital memberikan rawatan biasa kepada kanak-kanak itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 1:47 PM
    Digital NSTP Subscribe