NOTIS mengenai wabak koronavirus baharu di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. FOTO Amran Hamid.
NOTIS mengenai wabak koronavirus baharu di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. FOTO Amran Hamid.
Noorazura Abdul Rahman


EMPAT hospital di Kedah membuka khemah khas dan kaunter saringan untuk orang ramai yang mempunyai simptom menyerupai koronavirus baharu (2019-nCoV).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah itu diambil bagi mengawal penularan virus berikutan terdapat kes membabitkan kanak-kanak China yang ditempatkan di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi.

Katanya, empat hospital itu adalah HSM, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan Hospital Kulim.

“Proses saringan dilakukan secara teratur dan rapi apabila pesakit yang mempunyai simptom akan diperiksa di kawasan khemah di luar hospital sebelum dibawa masuk ke wad bagi rawatan lanjut.

“Kita juga menetapkan HSM dan HSB sebagai tempat rawatan dan isolasi pesakit sekiranya berlaku jangkitan koronavirus.

“Cuma kita minta jangan pula ada yang tular berita palsu mengatakan koranavirus sudah merebak ke seluruh Kedah kerana tindakan yang dilakukan ini sebagai langkah siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Darulaman di Alor Setar, hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam, mengesahkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dirawat di wad isolasi HSM Langkawi sebagai positif koronavirus.

Bagaimanapun, adik kanak-kanak itu yang berusia dua tahun dan ibunya yang ditempatkan di hospital sama, negatif koronavirus.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, sektor pelancongan Langkawi belum terjejas akibat penularan wabak itu walaupun penerbangan langsung dari China ke pulau peranginan berkenaan sudah dibatalkan.

“Setakat ini impak (penularan koronavirus) ke atas pelancongan Langkawi belum dapat dinilai, namun kita sudah ambil langkah awal mengelak jangkitannya.

“Kita menggalakkan orang ramai mengambil langkah pencegahan termasuk memakai topeng dan kerap mencuci tangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 5:55 PM
    Digital NSTP Subscribe