PINTU masuk utama MAPS ditutup kepada orang ramai. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan dirinya dengan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah dengan persepsi jahat kerana dakwanya ada pihak yang mencipta istilah ‘mini 1MDB’ dan mengaitkan dirinya dengan skandal tidak berasas itu.

“Sebaik sahaja penutupan MAPS, ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka untuk tujuan politik tertentu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dr Zambry berkata, beliau mengalu-alukan sebarang laporan audit mengenai kedudukan kewangan MAPS bermula 2013 hingga 2019 dan setiap akaun itu tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah.

“Seperti yang semua sedia maklum MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam yang mana semua keputusannya berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

“Ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian, termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Tertakluk juga garis panduan ‘Corporate Governance’ yang ditetapkan dan saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat itu,” katanya.

Zambry memaklumkan, beliau tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa jika berlaku penyelewengan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras peruntukan undang-undang.

“Malangnya, amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik untuk tujuan dan matlamat meruntuhkan maruah dan (mendatangkan) keaiban oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan, serta tindakan susulan bakal diambil terhadap cubaan berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya,” katanya.

Semalam, media melaporkan penutupan MAPS ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak, berkuat kuasa serta merta.

Berita berkaitan

Pekerja MAPS sudah dimaklumkan

MAPS tutup operasi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 9:14 PM