BOMBA menyelamat kanak-kanak yang terperangkap dalam rumah akibat banjir kilat. FOTO ihsan bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menyelamatkan tiga kanak-kanak dan seorang lelaki yang terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Tuah Jaya, Taman Perling, Johor Bahru, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Nor Zait Iskandar Md Nor berkata, dalam kejadian 4.44 petang itu, pihaknya dimaklumkan Pasukan Tindakan Operasi (PTO) berlaku banjir kilat pada paras air ketinggian satu meter.

Katanya, hujan lebat lebih lima jam sejak tengah hari tadi turut membuatkan operasi masih berjalan dengan kekuatan lapan anggota dan sebuah jentera.

“Bomba dimaklumkan oleh seorang lelaki berusia 30-an bahawa tiga anak perempuannya berusia dua hingga tujuh tahun terperangkap di dalam rumah sejurus air mula naik.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan tiga mangsa terbabit, sebelum membantu mengeluarkan seorang lagi mangsa banjir iaitu lelaki berusia 57 tahun yang tidak boleh bergerak akibat gout,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, sebuah pusat pemindahan sementara dibuka di Masjid Nur Hikmah Batu 8 1/2, kira-kira jam 6 petang, yang menempatkan empat keluarga dengan jumlah 20 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 9:39 PM