ANGGOTA APM membantu penduduk memindahkan barang ketika banjir kilat lewat petang tadi. FOTO ihsan APM
Rosman Shamsudin


HANYA tiga keluarga membabitkan lapan orang daripada 75 mangsa banjir kilat di Kampung Behrang Ulu dan Kampung Sungai Sekiah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, Tanjung Malim.

PPS dibuka oleh Sekretariat Pengurusan Bencana (SPB) daerah Muallim jam 7 malam tadi bagi memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir kilat petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihak SPB sedang berkerja keras membantu dan menyediakan barang keperluan kepada mangsa.

Menurutnya, APM bersama SPB masih memantau kawasan yang terjejas terutama memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Penduduk dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca setempat kerana bimbang banjir kilat ini berulang kembali.

“Kami bersama SPB sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi banjir kilat di kawasan ini dan berharap penduduk sentiasa mengutamakan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, hujan lebat petang tadi menyebabkan jalan masuk ke kawasan perumahan Diamond Creek, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) serta taman perumahan Sekiah Makmur turut terjejas.

Difahamkan, hujan yang lebat itu menyebabkan paras di Tasek Embayu Proton City turut meningkat secara mendadak sehingga memasuki rumah wakaf terletak di tepi tasik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:03 PM