PESERTA program ceramah kesihatan dan penerangan keselamatan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


CAWANGAN Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Kesihatan Jelebu menganjurkan ceramah kesihatan dan penerangan keselamatan khususnya berkaitan koronavirus dan Influenza A kepada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, seramai 100 peserta terdiri daripada petugas kesihatan, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Klawang hadir pada program berkenaan.

“Turut hadir ahli Persatuan Ibu Tunggal Jelebu, guru Maktab Rendah Sains MARA Kuala Klawang, Kolej Komuniti Jelebu, Kolej Vokasional Kuala Klawang dan AMANITA Jelebu.

“Ceramah dianjurkan susulan serangan wabak koronavirus. Kita mengambil inisiatif ini bagi membolehkan pihak berkenaan mendapat maklumat lengkap.

“Ceramah berkaitan Influenza A dan koronavirus disampaikan oleh Dr Mohd Syafiq Shafie dari Klinik Kesihatan Jelebu," katanya di sini.

Kamarul Rizal berkata, sesi ceramah kesihatan itu diharap dapat memberi manfaat kepada pihak berkaitan selain mengetahui tindakan sewajar diambil jika berlaku kes di kawasan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai kes koronavirus.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat laporan ada individu yang menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan panik kepada orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 11:37 PM