X
Zainal menunjukkan sangkar burung merpati di belakang rumahnya yang diserang beruang malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Zainal menunjukkan sangkar burung merpati di belakang rumahnya yang diserang beruang malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


“SEBAIK keluar dari rumah, saya ternampak seekor beruang setinggi paras pinggang sedang menarik jaring sangkar burung merpati.

“Saya halau beruang itu dan apabila ia pergi, saya menutup semula koyakan jaring sarang berkenaan,” kata Zainal Abdullah, 58.

Dalam kejadian jam 11 malam tadi itu, Zainal yang juga penduduk FELDA Perasu, Gua Musang berkata, dia mendengar bunyi bising di belakang rumahnya sebelum bergegas keluar untuk melakukan pemeriksaan.

“Burung merpati saya selamat,” katanya ketika ditemui di Felda Perasu, Gua Musang, hari ini.

Wartawan difahamkan, selain menyerang sarang burung milik penduduk, kumpulan beruang itu dilapor turut ‘menyerang’ pokok kelapa di kawasan berkenaan.

Bagi, Harun Kadir, 53, kumpulan beruang yang berkeliaran di kawasan itu kini mensasarkan pokok kelapa dan ternakan penduduk seperti ayam.

Katanya, kegagalan pihak berkuasa menangkap beruang itu menyebabkan peneroka ketakutan untuk bekerja di ladang sawit.

“Kita percaya beruang itu masih berada di kawasan ladang sawit dan kami (peneroka) terdedah bahaya jika memasuki kawasan berkenaan,” katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan, haiwan itu berkeliaran di Felda Perasu sejak tiga minggu lalu dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang perangkap Isnin lalu selepas mendapat aduan penduduk.

Bagaimanapun, sehingga hari ini beruang berkenaan masih belum berjaya ditangkap.

Berita berkaitan:

  • Siasat dulu sebelum pasang perangkap
  • Cemas 5 beruang musnah tanaman
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 12:02 PM
    Digital NSTP Subscribe