MUHAMADDIN (kiri) melakukan gimik perasmian Karnival Tekstil Pantai Timur 2020. FOTO Fathil Asri.
MUHAMADDIN (kiri) melakukan gimik perasmian Karnival Tekstil Pantai Timur 2020. FOTO Fathil Asri.
Nor Fazlina Abdul Rahim


MASIH terlalu awal untuk mengukur prestasi kemasukan pelancong ke negara ini sama ada terjejas atau sebaliknya, susulan penularan koronavirus baharu (2019n-CoV).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi berkata, ia berikutan wabak berkenaan berlaku tidak sampai setengah bulan.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia sepanjang Januari daripada Jabatan Imigresen.

“Kalau kita melihat wabak koronavirus menular, sebetulnya bukan Malaysia sahaja sebaliknya ia masalah dunia. Negara lain pun sama sahaja.

“Jadi, kalau kita nak kata industri pelancongan terjejas, masih terlalu awal.

“Namun, kita tetap kekalkan sasaran 30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia (VM2020). Capai ke tidak bukan soalnya tetapi kita kekalkan sebagaimana sasaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis bersama usahawan sempena Festival Kraf di Dataran Muhammadi, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Malaysia tidak bergantung kepada satu negara sahaja untuk menarik kemasukan pelancong.

“Sebagai contoh tahun lalu, pelancong dari Singapura mencatatkan kemasukan paling ramai, bukannya dari China,” katanya.

Mengulas mengenai Tourism Recovery Committee bagi memantau perkembangan semasa berhubung isu koronavirus, Mohammadin berkata, jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 2:48 PM