AYOB Khan ketika Bicara Cendekiawan Mulia UMP. FOTO Farizul Hafiz Awang.
AYOB Khan ketika Bicara Cendekiawan Mulia UMP. FOTO Farizul Hafiz Awang.


SERAMAI 56 rakyat Malaysia masih berada di Syria, termasuk sembilan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti keganasan berada di penjara Al-Hasakah di negara terbabit.

Daripada jumlah itu, 27 individu, masing-masing 10 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan berada di Kem Al Houl.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan maklumat seorang lelaki dewasa kini berada di Idlib.

“Bagaimanapun, baki 19 lagi membabitkan sembilan lelaki dewasa, dua wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan tidak diketahui lokasinya.

“Berdasarkan risikan maklumat daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), keadaan di Kem Al Houl begitu sukar

untuk golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bicara Cendekiawan Mulia Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertajuk ‘Pengganas’ : Pengaruh dan Ancaman Dalam Negara Bangsa” di UMP Pekan, di Pekan, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff; Ketua Cawangan Khas Pahang, Datuk Mohd Khalid Ismail dan Timbalan 2 Ketua Cawangan Khas (KCK) Risikan dan Operasi Pahang, Asisten

Komisioner Daud Omar.

Pada masa sama, Ayob Khan berkata, terdapat usaha kumpulan militan Daish memantapkan ideologi mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dan negara lain tidak kembali ke negara masing-masing.

Ditanya tindakan sekiranya mereka kembali ke Malaysia, Ayob Khan berkata, hanya lelaki dewasa yang pulang ke Malaysia akan ditahan dan dituduh ke mahkamah.

“Wanita dan kanak-kanak akan dibuat penilaian khusus menggunakan pakar psikologi dan agama untuk menilai ideologi mereka.

“Kami akan mendapatkan jawapan sebab mereka ke Syria, adakah dipaksa atau ditipu.

“Jika ada bukti wanita dewasa juga terbabit mereka juga akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 5:12 PM
Digital NSTP Subscribe