GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


KERAJAAN Sabah menggantung sementara semua penerbangan dari China berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh diberitahu kelak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet negeri bermesyuarat semalam, sebagai langkah mengurangkan risiko mendedahkan orang awam dengan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Katanya, meskipun menyedari tindakan itu tidak diterima baik pemain industri pelancongan, ia terpaksa dilakukan supaya penularan koronavirus baharu itu tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat memandangkan ketidakpastian mengenai wabak itu merebak.

“Walaupun penggantungan ini bakal memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah, kerajaan negeri memandang serius isu kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Penggantungan ini hanya sementara dan semua operasi perniagaan dijangka akan bersambung semula apabila situasi kembali menjadi normal,” katanya dalam kenyataannya di Kota Kinabalu, hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memaklumkan semua syarikat penerbangan bagi laluan China-Kota Kinabalu mengenai keputusan kerajaan negeri itu.

“Ini bermakna semua penerbangan dari China akan dihentikan dan tidak akan ada kemasukan pelancong dari China ke Kota Kinabalu semasa tempoh penggantungan.

“Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada kerajaan Sabah.

“Walaupun tiada kes dikenal pasti di Sabah, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan amalan kebersihan diri yang baik,” katanya.

Di China, kerajaan negara itu turut melarang rakyatnya di Wuhan, Xi’an, Beijing, Tianjin, dan Guangzhou keluar dari negara berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 7:49 PM
    Digital NSTP Subscribe