X
Mohd Khairi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Mohd Khairi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) memperketatkan kawalan di pintu sempadan Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam bagi mengelak penularan 2019 koronavirus baharu (2019-nCoV).

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, anggotanya yang melakukan pemeriksaan di sekatan pertama masuk dan keluar ke negara ini akan memastikan pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap pelancong China.

Menurutnya, bagi pelancong yang baru masuk melalui Thailand, mereka akan melalui pemeriksaan di kaunter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui mesin pengimbas suhu badan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini terlebih dahulu.

“Namun mereka akan melalui pelbagai lapisan pemeriksaan di kompleks itu dan akhir sekali akan melalui pemeriksaan terakhir melalui AKSEM.

“Kita akan melakukan pemeriksaan lebih terperinci berkaitan dokumen perjalanan, barangan yang dibawa dan pelancong dari China akan dibawa semula ke bilik saringan untuk pemeriksaan kedua bagi memastikan tahap kesihatan pelancong terjamin,” katanya ketika ditemui di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Mohd Khairi berkata, setakat ini hanya 14 warga China memasuki negara ini namun semua mereka bebas dari jangkitan virus berkenaan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi termasuk KKM bagi memastikan penularan wabak koronavirus tidak berleluasa di negara ini.

“Setakat ini seramai 20 anggota AKSEM bertugas di laluan dua hala di sempadan Bukit Kayu hitam untuk menjalankan pemeriksaan rapi.

“Pemeriksaan itu bukan saja di sempadan Bukit Kayu Hitam malah di Kompleks ICQS Kota Putra di Durian Burung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 12:04 PM
    Digital NSTP Subscribe