X
PELANCONG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Arkib NSTP.
PELANCONG di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Arkib NSTP.
Mohd Amin Jalil


KERAJAAN belum memutuskan untuk menyekat penerbangan dari China susulan penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, tiada juga penangguhan sementara ke atas penerbangan itu kerana mengelak implikasi membabitkan perjalanan rakyat kedua-dua negara.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tetap dalam kajian dan tindakan diambil nanti mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita tidak boleh hentikan penerbangan kerana terdapat ramai warga China di negara ini dan kalau kita hentikan penerbangan, sudah tentu mereka akan terkandas di sini (Malaysia).

“Warga China perlu pulang ke negara mereka dan begitu juga rakyat Malaysia yang berada di China perlu balik. Jadi kita perlu memikirkan implikasinya.

“Apapun, kerajaan berhati-hati dan langkah proaktif adalah ketatkan pemeriksaan di lapangan terbang dan pintu masuk yang sedia ada bagi mengelak penularan wabak koronavirus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pameran Skim Jajaran Kereta Api Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Seremban, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Anthony Loke berkata, setakat ini hanya kerajaan Sabah yang mengambil langkah tidak membenarkan kemasukan pelancong China menerusi penerbangan terus dari negara itu.

“Di peringkat Persekutuan, keputusan akan dibuat berpandukan situasi semasa dan nasihat KKM,” katanya.

Mengenai 13 pekerja ECRL dari Wuhan yang diberikan cuti khas, katanya, mereka tidak dibenarkan ke Malaysia untuk sementara waktu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 1:41 PM
    Digital NSTP Subscribe