Bai Tian. FOTO NSTP
Bai Tian. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


DUTA China ke Malaysia, Bai Tian kecewa dengan keputusan kerajaan Sabah menggantung semua penerbangan dari Sabah ke Wuhan, China berikutan wabak koronavirus baharu yang melanda wilayah berkenaan.

Beliau berkata, seharusnya keputusan dibuat kerajaan atau organisasi perlu berasaskan alasan kukuh.

Menurutnya, diharapkan dalam keadaan seperti ini kegiatan manusia atau aktiviti perdagangan serta komersial tidak seharusnya terjejas antara China dan Malaysia termasuklah Sabah.

“Saya sangat kecewa mengetahui keputusan dibuat kerajaan Sabah,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan 18 juta sarung tangan perubatan dari 10 pengeluar sarung tangan di Kementerian Industri Utama, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Bai berkata, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk menggantung penerbangan berkenaan.

Ahad lalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dilaporkan berkata semua penerbangan dari Sabah ke Wuhan, China dihentikan berikutan wabak itu.

Difahamkan, setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak berkenaan dapat dikawal.

Menurut Christina Liew hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 4:04 PM
    Digital NSTP Subscribe