Dr Mujahid. FOTO Aizuddin Saad
Dr Mujahid. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

JEMAAH haji muassasah kekal membayar RM9,980 bagi musim haji 1441H/2020M daripada kos sebenar haji sebanyak RM22,900.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, baki RM12,920 bagi setiap jemaah akan ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi kesemua 31,600 orang, menjadikan kos keseluruhan ditanggung TH sebanyak RM408.2 juta.

“Ini tidak termasuk kos lain yang ditanggung TH, seperti penganjuran kursus haji perdana sebanyak kira-kira RM70 juta.

“Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980 seperti mana 10 tahun lepas...kalau kita bandingkan pada 2009, kos sebenar haji hanya kira-kira RM12,000 dan ia meningkat setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas desakan supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam TH, Mujahid berkata RCI sepatutnya ditubuhkan bagi menyelesaikan isu yang dianggap ‘misteri’.

Berlainan dengan isu berkaitan TH, beliau berkata ia dikenal pasti selepas audit dilakukan oleh PriceWaterHousecoopers, malah laporan polis mengenainya dibuat dan kes kini dalam siasatan polis.

Mengenai Residensi MAIWP, Mujahid berkata, pembinaannya dijadual bermula pada hujung tahun ini selepas proses tender selesai.

Pangsapuri dengan 360 unit berkenaan dicadang dibina di atas tanah milik MAIWP di Taman Pelangi Jaya, Gombak.

Berkeluasan 83.6 meter persegi, setiap unit tiga bilik tidur itu dicadang dijual di bawah harga RM300,000 dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40, asnaf dan warga MAIWP sendiri yang berpendapatan rendah.

“Setelah buat tender dan sebagainya bolehlah kita lihat projek ini bermula dengan harapan kita dapat menyumbang kepada dasar rumah mampu milik yang hari ini kerajaan sedang cuba habis-habisan untuk memenuhi kuota satu juta perumahan untuk rakyat yang merupakan projek penting bagi menyediakan kehidupan selesa kepada rakyat.

“Sebenarnya kita ada tanah lain yang sedang juga dilihat…kita sedang perhatikan dan kita jangka banyak lagi tanah MAIWP ini akan dibangunkan,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 berjanji menyediakan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun pemerintahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 4:52 PM