Amir Abd Hamid

“KITA tidak menggalakkan tetapi tidak pula kita kata sekat.

“Sebaik keperluan dan kepentingan itu mendesak, kita akan lakukan tindakan.”

Itu kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkaitan lawatan antara dua negara Malaysia dengan China susulan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini dipetik berkata, penangguhan penerbangan antara dua negara tetap dalam kajian dan tindakan diambil nanti mengikut nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, Sabah yang mengambil langkah tidak membenarkan kemasukan pelancong China menerusi penerbangan terus dari negara republik itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan koronavirus baharu sebagai kecemasan global, namun tiada saranan sekatan lawatan atau perdagangan dengan China atau negara terbabit.

DR Dzulkefly (tengah) pada sidang media mengenai perkembangan terkini penularan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO BERNAMA
DR Dzulkefly (tengah) pada sidang media mengenai perkembangan terkini penularan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. FOTO BERNAMA

“WHO memutuskan kejadian jangkitan 2019-nCoV memenuhi kriteria Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) iaitu kecemasan global.

“Justeru, WHO memutuskan negara anggota menjalankan pemantauan aktif, pengesanan awal, pengurusan kes dan isolasi, pengurusan kontak rapat dan pencegahan penularan jangkitan 2019-nCoV.

“WHO menekankan kepentingan perkongsian maklumat terkini jangkitan 2019-nCoV dan memaklumkan tiada sekatan lawatan atau perdagangan dengan China atau negara terlibat,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Norhayati Rusli.

Sementara itu, beliau berkata, pihak KKM tidak mendapat sebarang maklumat China meminta membawa pulang rakyatnya yang dirawat di negara ini.

Menurutnya, setakat ini lapan kes positif 2019-nCoV masing-masing empat dirawat di Hospital Sungai Buloh, tiga di Hospital Permai, Johor dan seorang di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi adalah semuanya warga China.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:54 PM
    Kabinet Malaysia 2020