WISMA Felcra. FOTO arkib NSTP
WISMA Felcra. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


FELCRA Berhad (Felcra) menafikan sebarang pembabitan dengan penganjuran Himpunan Warga Felcra 2.0 di Markas Pas Kampung Gajah, esok seperti hebahan di media sosial.

Pengurus Kanan Media Felcra yang enggan nama disiarkan berkata, pengurusan tidak pernah membuat sebarang hebahan berhubung himpunan itu.

“Forum bertajuk ‘Isu FELCRA dan Undang-Undang’ seperti yang terdapat dalam agenda himpunan itu tidak dibincangkan dengan kehadiran panel rasmi dari Felcra Berhad.

“Sehubungan itu, sebarang perbincangan dalam forum itu adalah tidak mengikut prosedur dan tatacara syarikat, sekali gus tidak melambangkan kenyataan rasmi dari pengurusan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebarang ketidakpuasan hati perlu diselesaikan melalui kaedah musyawarah dengan menggunakan platform rasmi syarikat, bertepatan dengan prinsip syarikat iaitu memastikan aspek keharmonian dalam kalangan peserta dan pengurusan sentiasa dipelihara.

Terdahulu, hebahan mengenai Himpunan Warga Felcra 2.0 yang dijangka berlangsung di Markas Pas Kampung Gajah, Pasir Salak giat disebarkan di laman sosial.

Ia dijangka berlangsung esok bermula 8 malam hingga 12 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 10:18 PM