KAMERA thermal bagi mengesan suhu badan di Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). FOTO Mohd Fadli Hamzah
KAMERA thermal bagi mengesan suhu badan di Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). FOTO Mohd Fadli Hamzah


PINTU masuk di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di Kuantan dan Pelabuhan Kuantan dipantau rapi sebagai langkah mencegah jangkitan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Pegawai Pejabat Kesihatan Kuantan, Dr Fatimah A Majid berkata, pihaknya menempatkan alat pengesan haba bagi mengesan individu yang mungkin mengalami simptom terutama demam.

Katanya, semua pelancong dari luar negara diwajibkan mengesahkan status kesihatan sama ada berkeadaan baik atau mengalami sakit.

“Setakat ini, tiada kes yang dikesan dijangkiti wabak terbabit di LTSAS dan Pelabuhan Kuantan kerana mereka

(pelancong) memberikan kerjasama.

“Sekiranya mempunyai simptom seperti demam, kita akan membawa mereka ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di Kuantan, hari ini.

Dr Fatimah berkata, pihaknya meminta semua lapisan masyarakat tidak menularkan sebarang berita tidak sahih yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, bagi mendapatkan pengesahan rasmi berhubung status terkini jangkitan koronavirus baharu sebaiknya merujuk di laman Web Kementerian Kesihatan.

“Segala kes berkaitan coronavirus di seluruh negara akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Bermula hari ini Pejabat Kesihatan Kuantan akan mengadakan sesi penerangan khas berkaitan kes coronavirus di pusat membeli belah dan pasar raya.

“Kita turut mengedarkan risalah kepada orang ramai terutama membabitkan kaedah dan langkah pencegahan terutama cara pemakaian topeng hidung dan mulut serta membersihkan tangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 11:30 AM