Azman menunjukkan dokumen yang dipalsukan sindiket ketika ditemui di pejabatnya, Jalan Ampang. FOTO Rosdan Wahid
Azman menunjukkan dokumen yang dipalsukan sindiket ketika ditemui di pejabatnya, Jalan Ampang. FOTO Rosdan Wahid
Skuad Khas Harian Metro

BAGAIKAN babak dalam filem aksi, dua orang ceti haram yang mempunyai pertalian saudara di utara tanah air 'pecah rekod' apabila merampas sebuah bot milik peminjam menyebabkan mangsa kerugian lebih RM3 juta.

Bukan itu sahaja, dua minggu lalu, mereka dikesan menukarkan nama wakil kuasa untuk e-diesel bot berkenaan kepada nama individu lain yang tidak dikenali walaupun semua hutang sudah dilunaskan.

Semuanya bermula apabila mangsa yang juga ahli perniagaan Datuk Yong Kok Wah, 44, meminjam wang RM900,000 untuk membiayai sebuah projek pada 2015.

Menurutnya, dia melangsaikan pinjaman itu sebanyak RM1.7 juta dan membuat pinjaman kedua bernilai RM1 juta tidak lama selepas itu.

"Pinjaman kedua juga sudah saya selesaikan berjumlah RM1.3 juta. Ini bermakna untuk kedua-dua pinjaman berjumlah RM1.9 juta, saya bayar balik sebanyak RM3 juta," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pengerusi Gerakan Banteras Along Malaysia (GBAM) Azman Kang Abdullah, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kok Wah berkata, pada Ogos tahun lalu, dia dihubungi salah seorang along berkenaan yang mengajaknya berjumpa di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar.

Katanya, sebaik berjumpa along terbabit, dia didatangi 20 lelaki yang mengugutnya dengan mengacukan pisau supaya mengikut arahan atau berdepan maut jika ingkar.

"Mereka bawa saya ke jeti nelayan Kuala Kedah dan merampas bot yang adik saya gunakan untuk menangkap ikan tanpa sebarang penjelasan. Saya jadi bingung kerana tidak tahu apa salah saya. Adik saya juga buntu kerana bot itu digunakannya untuk menangkap ikan yang diusahakan keluarga saya selama ini," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Kedah.

Episod malang itu tidak terhenti di situ saja apabila dia mendapat tahu bahawa along berkenaan bertindak menukar nama wakil kuasa untuk sistem e-diesel ketika membuat semakan, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas dua bot berkenaan dirampas lima bulan lalu, dia dan adiknya tidak pernah berhubung dengan mana-mana pihak mengenai pertukaran nama untuk e-diesel itu dan tidak mengenali individu yang didaftarkan.

"Penukaran itu pula dibuat menerusi Persatuan Nelayan Kawasan Hilir Perak sedangkan sebelum ini kami berdaftar di Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah pada 2011. Semakan mendapati along berkenaan menipu kononnya sudah mendapat kebenaran dari saya dan menyunting gambar ketika memohon subsidi diesel.

"Saya rayu pihak berwajib jalankan siasatan kerana saya tidak mempunyai apa-apa tunggakan bayaran sebaliknya sudah bayar lebih daripada sepatutnya," katanya.

Bukan itu saja, katanya, semakan di pusat isytihar di LKIM Kedah turut mendapati penama baru turut dinamakan sebagai ejen sistem e-isytihar dan sistem e-diesel.

Sementara itu, Azman berkata, hasil perbincangan bersama mangsa, satu lagi laporan polis dibuat di Kuala Kedah berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan GBAM mendapati pengadu sudah melunaskan bayaran pinjaman kepada along dan tiada tuntutan lain yang boleh dibuat berdasarkan bukti pembayaran.

"Kita akan rujuk kes ini kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana tiada tindakan diambil selepas laporan dibuat tahun lalu," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 3:43 PM