MOHD Shafie (tengah) bersama dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
MOHD Shafie (tengah) bersama dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan di Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

KERAJAAN negeri tetap dengan pendirian menghalang kemasukan pelancong China buat sementara waktu sebagai salah satu langkah pencegahan penularan wabak Koronavirus Baharu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun menerima pelbagai reaksi namun beliau berpendapat ia penting dan menjadi keutamaan pentadbirannya dalam memberikan solusi terbaik untuk keselamatan rakyat.

Mohd Shafie berkata, sekatan penerbangan sementara daripada China itu adalah keputusan Kabinet negeri yang membolehkan halangan kepada pelancong untuk memasuki Sabah.

"Kita tidak benarkan semua penerbangan yang terdapat pelancong China ketika ini.

"Sekiranya kita lihat keadaan sudah semakin pulih dan ada sistem perubatan vaksin yang boleh seratus peratus memulihkan, barulah kita akan ambil langkah-langkah susulan" katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan di Tanjung Aru, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang medianya di Seremban semalam menyatakan keputusan sekatan penerbangan China terutamanya di Sabah bukanlah pendirian kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, mengulas mengenai kesan ekonomi di Sabah susulan keputusan sekatan sementara terbabit, Mohd Shafie berkata tahap kesihatan dan keselamatan rakyat negeri ini adalah menjadi keutamaan.

"Kita sedar negeri ini ramai pelancong yang datang dan tahu kesan ekonomi peringkat negeri memang besar, tetapi bagaimanapun kesan sesuatu penyakit kepada manusia juga mampu memberi impak besar kepada penduduk Sabah.

"Sekatan sementara ini ialah salah satu langkah perlu diambil dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pun sudah menyatakannya," katanya.

Pada Jumaat, Duta China Ke Malaysia, Bai Tian, kecewa berhubung keputusan kerajaan negeri membatalkan semua penerbangan dari China ke Sabah berkuat kuasa kelmarin.

Menurut Bai Tian, langkah berkenaan mampu memberikan impak terhadap kedatangan pelancong dari China dan berharap keputusan tersebut tidak menjejaskan aktiviti perdagangan serta komersial antara kedua-dua negara.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 7:24 PM
    Digital NSTP Subscribe