GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


BUKAN sahaja ugut mahu memukul ibunya, seorang lelaki berusia 25 tahun sanggup membaling topi keledar ke arah wanita berkenaan kerana tidak diberikan wang.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di rumah mangsa di Kampung Setol, Tasek Gelugor, dekat Butterworth, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek ditangkap polis selepas bapanya membuat laporan pada jam 2.30 petang.

“Ketika kejadian hanya ada mangsa yang juga ibu suspek serta cucunya berusia lapan tahun manakala bapa lelaki terbabit tiada di rumah. Bapanya hanya mengetahui perkara itu selepas diceritakan isterinya (mangsa).

“Siasatan awal mendapati ia bukan kali pertama berlaku, tetapi kali ini suspek bertindak paling agresif sehingga menimbulkan ketakutan pada mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati, suspek meminta wang kepada ibunya dipercayai untuk membeli dadah.

“Keengganan mangsa memberinya wang menyebabkan suspek berang. Dia mengamuk dengan menterbalikkan meja makan, membaling topi keledar, serta mengugut mahu memukul mangsa jika tidak diberikan wang,” katanya.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri bersama cucunya ke rumah jiran bagi berlindung sehingga suspek berjaya ditangkap polis.

“Polis turut merampas topi keledar yang disyaki digunakan suspek ketika kejadian dan dibawa balik ke IPD SPU untuk tindakan lanjut. Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis ‘MOP’,” katanya lagi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 2:18 PM
Kabinet Malaysia 2020