Zuliaty Zulkiffli


SATU lagi tapak pelupusan sampah di Kedah iaitu di Kamunting, Jitra, terbakar dan usaha pemadaman sedang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang sudah mengambil masa 18 jam.

Kebakaran itu menjadikan kes kedua membabitkan tapak pelupusan sampah di negeri berkenaan.

Sejak 12 hari lalu, JBPM negeri berusaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Semeling, Sungai Petani.

Ketua Zon I JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zain berkata, lebih satu hektar kawasan tapak pelupusan sampah itu terbakar biarpun kawasannya seluas empat hektar.

Menurutnya, seramai 20 anggota dari tiga balai bertugas mengikut syif membantu memadam kebakaran sejak 6 petang semalam dan operasi masih diteruskan sehingga kini.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah di Kamunting pada hari kedua operasi dilakukan membabitkan keluasan lebih satu hektar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di kawasan tapak pelupusan sampah di Kamunting pada hari kedua operasi dilakukan membabitkan keluasan lebih satu hektar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

“Kita menggunakan lori tangki berkapisiti 20,000 liter dan tiga jentera yang masing-masing mempunyai bekalan air sebanyak 3,600 liter air untuk memadam kebakaran.

“Setakat ini, api berjaya dikawal dari merebak ke kawasan lain dan anggota kami sedang bertungkus-lumus memadam kebakaran itu sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi disertai anggota BBP Jitra, Pokok Sena dan Kuala Nerang.

Katanya, proses pemadaman kebakaran bergantung pada sumber air dan cuaca.

“Keadaan angin dan cuaca panas menyebabkan api masih menyala namun anggota kami sedang berusaha memadam api sepenuhnya,” katanya.

Operasi pemadaman itu turut dibantu agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 3:03 PM
Digital NSTP Subscribe