DR Lee Boon Chye berkata kerajaan belum bercadang untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam susulan penularan wabak koronavirus baharu. FOTO NSTP
DR Lee Boon Chye berkata kerajaan belum bercadang untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam susulan penularan wabak koronavirus baharu. FOTO NSTP
Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN belum bercadang untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam susulan penularan wabak koronavirus baharu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana virus itu masih belum berada di dalam komuniti di negara ini.

“Untuk Malaysia, setakat ini koronavirus baharu masih belum dalam komuniti. Jadi kita masih tidak mencadangkan untuk pemakaian penutup muka bagi mereka yang sihat.

“Memang pandangan daripada pakar setakat ini, tidak perlu untuk memakai penutup muka sekiranya sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, berikutan itu bagi mereka yang tidak mempunyai simptom tidak semestinya perlu memakai topeng muka.

“Jangan lupa kita ada (kes) Influenza, jadi mereka yang ada penyakit ini apabila pergi ke tempat tumpuan ramai mungkin perlu perlindungan yang lebih.

“Jadi terpulang kepada mereka memakai penutup muka atau tidak, ini khusus untuk influenza sedia ada bukan kerana koronavirus baharu,” katanya.

Katanya, tiada kes jangkitan koronavirus baharu di negara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan jika keadaan sebaliknya berlaku.

“Kita masih tidak ada kes jangkitan dalam komuniti, jadi tidak perlu menyekat program awam.

“Paling penting kita perlu mendengar nasihat KKM dan kita akan membuat ‘adjustment’ mengikut keadaan. Setakat ini kita berjaya untuk mengawal jangkitan itu... jangan kita panik sangat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:35 PM
    Digital NSTP Subscribe