PENGGUNAAN e-dompet dijangka terus meledak.
BERNAMA

KESELAMATAN data peribadi harus dititikberatkan oleh pengguna susulan sambutan ramai terhadap pengenalan e-dompet.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Nizam Yunus berkata, setiap sistem atau aplikasi yang dibangunkan, pastinya mengambil kira soal keselamatan data bagi mengelak daripada disalah guna atau dicuri pihak tertentu.

Beliau berkata, bagi mana-mana sistem atau aplikasi, ia pastinya mempunyai kelemahan tertentu seperti pencerobohan dan sebagainya namun beliau percaya penyelia sistem itu sudah bersedia dengan semua kemungkinan dan sentiasa memberi keutamaan dalam menyediakan perlindungan data peribadi pengguna.

“Secara amnya, rakyat tidak perlu risau dengan e-dompet ini kerana keselamatannya sentiasa dijaga dengan rapi oleh pihak penyelia (aplikasi),” katanya.

Katanya, ada juga pengguna yang melahirkan rasa bimbang kemungkinan wang dalam aplikasi berkenaan boleh hilang begitu sahaja, namun menurutnya perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana biasanya sistem log sedia ada merekodkan setiap transaksi dan senarainya memang boleh diakses pengguna.

Sementara itu, seorang lagi pensyarah kanan di fakulti yang sama, Dr Irni Eliana Khairuddin berkata, setiap sistem yang diwujudkan hari ini terutamanya sistem kewangan, dibina dengan teknologi sekuriti yang tinggi dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Ini termasuklah juga dengan sistem e-dompet. Ramai yang bimbang akan data peribadi mereka digunakan pihak tertentu namun mereka juga perlu diingatkan bahawa bukan sahaja e-dompet, malah ada banyak perkhidmatan lain yang memerlukan mereka mendaftar dan memberikan data peribadi, yang boleh di salah guna.

“Ini termasuklah seperti melanggan Internet atau mendaftar keahlian kad pasaraya apabila mereka menandatangani borang langganan itu, secara tidak langsung mereka juga bersetuju untuk membenarkan pihak berkenaan menggunakan data peribadi mereka.

“Namun perlu diingat, pihak itu bukan boleh sewenang-wenangnya menggunakan data mereka kerana ia dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya dan menambah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diwujudkan dengan tujuan mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial.

Dr Irni Eliana berkata, data berkenaan turut boleh digunakan pihak terbabit untuk membuat unjuran mengenai penggunaan produk atau perkhidmatan tertentu yang sering kali digunakan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 7:01 AM