GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi

GERAM melihat perbuatan tidak senonoh lelaki warga Bangladesh melakukan aksi tidak senonoh dan menunjukkan alat sulitnya menyebabkan seorang ibu bertindak mengejar sebelum suspek ditahan pengawal keselamatan di sebuah restoran di Jalan Imbi, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam, wanita berusia 22 tahun bersama ibunya, 50-an, datang ke restoran itu untuk makan malam.

Menurut sumber, tidak lama kemudian suspek datang ke arahnya kira-kira tiga meter dari meja makan sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh itu.

“Mangsa yang malu melihat perbuatan suspek memberitahu ibunya yang kemudian menjerit selepas menyedarinya menyebabkan suspek melarikan diri.

“Ibu mangsa turut mengejar suspek dan meminta pertolongan pengawal keselamatan sebelum dia ditahan tidak jauh dari restoran itu,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian dibawa ke pejabat pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai penahanan suspek.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 3:28 PM