BEKALAN sarung tangan getah yang dibawa misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) Malaysia ke China. FOTO ihsan NADMA
BEKALAN sarung tangan getah yang dibawa misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) Malaysia ke China. FOTO ihsan NADMA
Amir Abd Hamid


WARIS 161 individu yang pulang ke tanah air dari Wuhan, China dilarang berjumpa sehingga tempoh kuarantin 14 hari selesai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, larangan itu turut terpakai kepada 12 kru penerbangan AirAsia dan lapan pegawai kerajaan menyertai misi hari ini.

Beliau berkata, itu adalah prosedur misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) Malaysia ke China yang dilaksanakan berikutan penularan koronavirus baharu (2019-nCoV) dari Wuhan.

“Orang ramai yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga tidak perlu bimbang.

“Ini kerana, semua yang pulang dari Wuhan itu tidak akan masuk ke terminal.

“Sebaliknya mereka terus dibawa dengan bas khas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk menjalani proses dekontaminasi dan saringan kesihatan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly berkata, mereka bagaimanapun mungkin boleh berkomunikasi melalui telefon bimbit.

Beliau berkata, saringan masuk dan dekontaminasi untuk semua itu akan dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama KKM.

“Mereka tidak bergejala akan dibawa ke pusat pemantauan yang terletak tidak jauh dari KLIA.

“Manakala mereka yang menunjukkan gejala akan terus dibawa ke hospital rujukan sama ada di Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Namun beliau enggan mendedahkan lokasi pusat pemantauan untuk kuarantin itu di bawah tanggungjawab Agensi Pengurusan Bencana (NADMA).

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 4:54 PM
    Digital NSTP Subscribe